Sunday, October 16, 2011

5 Tips Untuk Menjadi Usahawan Yang Berjaya



Semua org boleh menjadi seorang usahawan, tetapi tanpa strategi yang betul, tidak semua orang boleh menjadi usahawan yang berjaya. Oleh itu, diruangan ini saya ingin berkongsi 5 tips untuk menjadi usahawan yang berjaya.

1) Pendidik dan penyelidik

Seorang usahawan yang berjaya perlulah bijak memainkan peranan sebagai seorang pendidik dan penyelidik. Disini, menjadi penyelidik bukanlah bererti usahawan akan melakukan penyelidikan akademik, dan menjadi pendidik bukanlah bererti mereka perlu mengajar atau bijak bersyarah kepada orang ramai. Sebaliknya, usahawan yang menjadi penyelidik perlulah sentiasa mencari informasi berkaitan latar belakang pelanggan, keinginan dan kehendak terkini pelanggannya.
Sebagai seorang pendidik pula, usahawan perlulah berkongsi segala informasi terkini berkaitan produk yang dijual kepada para pelangan mereka. Dengan berkongsi informasi terkini tersebut, para pelanggan akan lebih mengetahui perkembangan berkaitan pemasaran produk tersebut. Ini akan membuatkan para pelanggan berpuas hati dengan produk yang mereka beli daripada usahawan terbabit.

2) Inovatif dan Kreatif

Seorang usahawan perlulah inovatif dan kreatif dalam menjalankan perniagaannya. Seorang usahawan mungkin menjual satu atau beberapa jenis produk sahaja, tetapi usahawan tersebut perlulah inovatif dan kreatif dalam menjual produk mereka. Dengan menjual satu produk sahaja pun, seorang usahawan yang inovatif dan kreatif boleh memenuhi pelbagai keinginan dan kehendak pelbagai jenis pelanggan mereka.
Sebagai contoh, Ali hanya menjual servis membuat website kepada para pelanggannya. Bagi mendapatkan jumlah pelanggan yang lebih ramai, Ali telah membuat website yang memenuhi keinginan dan kehendak para pelanggannya. Dikalangan para pelanggan Ali, ada yang memerlukan website sebagai sumber informasi perniagaan mereka sahaja (terutamanya bagi pelanggan yang menjalankan perniagaan dengan peruncit dan pemborong). Ada juga para pelanggan Ali yang menjalankan perniagaan dengan konsumer, yang memerlukanwebsite bukan sekadar sebagai sumber informasi sahaja, tetapi juga bagi menjalankan transaksi jual beli melalui atas talian (online).
Disini kita boleh lihat bahawa, Ali hanya menjual satu servis sahaja iaitu servis membuat website, tetapi dengan bakat inovatif dan kreatif yang ada padanya, Ali mampu mempelbagaikan servisnya untuk memenuhi keinginan dan kehendak pelbagai jenis pelanggannya.

3) Bijak mencari peluang

Seorang usahawan yang berjaya akan dapat mengesan masalah yang dihadapi oleh bakal pelanggannya. Dari situ, mereka akan memperkenalkan solusi yang akan menyelesaikan masalah bakal pelanggannya. Sebagai contoh, Ahmad mendapati kebanyakan kanak-kanak di Asia dikesan mengalami penyakit obes berpunca daripada pengambilan makanan yang tidak berkhasiat. Oleh itu, sebagai seorang usahawan, Ahmad akan memperkenalkan e-book berkaitan cara-cara penyediaan makanan sihat kepada kanak-kanak dan pengiraan kalori dan zat dalam setiap pemakanan bagi kanak-kanak tersebut.

4) Pengurus

Seorang usahawan yang berjaya adalah seorang yang bijak mengurus diri sendiri. Mereka tahu mendisiplinkan diri, mengurus masa dan kerjaya dengan bijak tanpa perlu diatur atau bergantung kepada sesiapa pun dalam urusan pengurusan diri sendiri. Sebagai contoh, seseorang usahawan yang mempunyai perjumpaan dengan klien pada jam 10am, selalunya akan tiba beberapa minit lebih awal, atau setidaknya pun, akan tiba di lokasi yang dijanjikan dengan kliennya tepat jam 10am, tetapi bukannya selepas jam 10am tersebut. Ini menunjukkan keseriusan komitmen mereka terhadap perniagaan dank lien mereka.

5) Pakar psikologi

Seorang usahawan yang berjaya juga merupakan pakar psikologi, yang dapat memahami bagaimanakah caranya seseorang pelanggan itu berfikir dan bertindak dalam membeli sesuatu produk. Usahawan yang berjaya akan dapat memahami siapakah yang mempengaruhi pelanggan dalam membeli produk tersebut, dan seterusnya menggunakan pengetahuannya itu untuk mempengaruhi pelanggannya membeli produk mereka. Sebagai contoh, seorang isteri yang mempunyai masalah berat badan, berkemungkinan dipengaruhi oleh suaminya untuk membeli produk pelangsingan badan supaya isteri tersebut kelihatan cantik dan langsing dimata suaminya. Oleh itu, usahawan tersebut boleh menggunakan informasi tersebut untuk mempromisikan produknya kepada kaum isteri dengan menekankan bahawa ‘seorang isteri perlu kelihatan cantik dimata suaminya’.
Secara kesimpulannya, semua insan di mukabumi ini boleh menjadi usahawan, tetapi tidak semua insan akan menjadi usahawan yang berjaya. Oleh itu, tip-tip yang dikongsikan disini perlu dipraktikkan untuk menjadi seorang usahawan yang berjaya. Oleh itu, selamat mencuba tip-tip ini ya!

No comments:

Post a Comment